PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan mengumumkan mekanisme harga tiket penerbangan domestik dalam masa terdekat.
Ia sekali gus jalan penyelesaian kepada isu kenaikan harga tiket penerbangan domestik yang melambung susulan musim perayaan Aidilfitri ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitiri Tahun 2022, hari ini.
Ka Siong berkata, pihaknya sudah menghantar laporan terperinci mengenai langkah penyelesaian isu berkenaan kepada Perdana Menteri untuk diteliti dan diumumkan.
“Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), tiga syarikat penerbangan tempatan (MAB, AirAsia dan Malindo) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sudah berbincang mengenai isu itu sejak tiga hari lalu.
“Mereka sudah mencapai kata putus terutama berkaitan isu kenaikan harga tiket penerbangan khususnya sepanjang musim perayaan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.