fbpx

Pingat perak Britain ditarik balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UJAH (dua dari kanan) dikesan terlibat dalam isu doping menyebabkan pingat perak dimenangi kuartet 4x100m Britain pada temasya Sukan Olimpik Tokyo dibatalkan. – AFP

LONDON – Persatuan Olahraga Britain (BOA) mengesahkan te­lah memulangkan semula pingat perak temasya Sukan Olimpik 2020 yang dimenangi oleh kuartet atlet 4×100 meter selepas dibatalkan kerana isu doping melibatkan CJ Ujah oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini.

Sebagai rekod, Ujah disahkan positif mengambil bahan terlarang sebelum saingan terpaksa ‘berputih mata’ bersama-sama rakan sepasukan Zharnel Hughes, Nethaneel Mitchell-Blake dan Richard Kilty apabila pecutan mereka di Tokyo, Jepun tahun lalu tidak diiktiraf.

Lebih malang, Ujah yang ber­usia 28 tahun turut diharamkan untuk menyertai mana-mana kejohanan olahraga antarabangsa buat sementara waktu tertakluk dengan keputusan Persatuan Olahraga Dunia nanti.

BOA dalam satu kenyataan berkata, pihak persatuan terpaksa akur apabila diarahkan memulangkan semula pingat perak yang dimenangi termasuk sijil dan cenderamata temasya Sukan Olimpik 2020 yang lepas.

“Kami telah memulangkannya semula dan apa yang membuatkan kami terkilan adalah tiga atlet yang tidak bersalah turut menjadi mangsa.

“Pihak kami terpaksa akur dengan keadaan ini kerana keputusan dibuat oleh CAS dan menyeru agar atlet kebangsaan yang lain tidak mengambil sebarang bahan terlarang yang boleh menjejaskan karier mereka masa depan,” kata kenyataan tersebut.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Itali kekal dengan pingat emas yang dimenangi­nya, manakala Kanada dinaikkan pangkat meraih pingat perak dengan kuartet China melengkap­kan kedudukan podium dengan pi­ngat gangsa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI