KUALA TERENGGANU – Tembelang nelayan Vietnam yang menyamar sebagai kapal kargo untuk mencuri khazanah laut negara di perairan negeri ini terbongkar apabila dicekup sepasukan Maritim Malaysia (APMM) dalam beberapa operasi sejak awal Ramadan lalu.
Tindakan menyamar sebagai kapal kargo merupakan taktik terbaharu nelayan Vietnam yang berjaya dibongkar.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, ketika ditahan, tekong bot mendakwa telah memohon permit untuk melalui perairan negara kononnya bagi mengangkut kargo seperti buah kelapa di pelabuhan Indonesia.
“Bagaimanapun, mereka disyaki menggunakan alasan itu untuk menangkap ikan di perairan Terengganu dan Pahang.
“Pemeriksaan mendapati permohonan permit untuk melalui perairan kita itu juga masih belum diluluskan pun oleh agensi berkaitan,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Suffi, sejak awal Ramadan lalu, pihaknya telah menahan empat bot nelayan Vietnam yang menggunakan modus operandi sama di sekitar perairan Terengganu.
Tambahnya, terdapat lapan lagi bot nelayan Vietnam yang menggunakan taktik sama bagi menceroboh perairan negara tetapi masih terlepas.
“Saya percaya taktik menyamar sebagai bot kargo ini digunakan bukan sahaja untuk mengaburi APMM, malah agensi penguatkuasaan maritim negara asal mereka.
“Ia disebabkan kerajaan negara itu sudah mula bertegas dan memberi respons terhadap isu mencuri hasil laut negara sejak awal tahun ini,” katanya.
Muhammad Suffi berkata, tindakan tegas itu menyebabkan bot-bot nelayan Vietnam semakin sukar berbuat sesuka hati dan terpaksa mencari helah baharu untuk melepasi sempadan perairan antarabangsa.
Beliau berkata, APMM sebagai agensi bertanggungjawab mengawal perairan negara tidak akan mudah terperdaya dengan modus operandi terbabit.
“Kita akan terus mengetatkan penguatkuasaan di perairan Pantai Timur terutama pada sepanjang bulan Ramadan dan Syawal ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE