LONDON – Penyerang Liverpool, Sadio Mane diangkat sebagai wira apabila menjaringkan dua gol ketika membantu pasukan itu menewaskan Manchester City 3-2 pada aksi separuh akhir saingan Piala FA di Wembley malam kelmarin.
Selain Mane, pemain pertahanan, Ibrahima Konate turut menjaringkan satu gol bagi membawa The Reds melangkah ke perlawanan akhir Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.
Sebaik memastikan tempat di perlawanan akhir, Mane mula melaungkan keyakinan skuad kendalian Jurgen Klopp itu berpeluang untuk merangkul gelaran quadruple pada saingan musim ini.
“Sudah tentu ia (quadruple) adalah impian kami tetapi kami perlu berjuang mati-matian untuk mendapatkannya. Kita tunggu dan lihat, namun saya yakin kami akan cuba yang terbaik.
“Kemenangan hari ini (kelmarin) sangat penting dan istimewa kerana ia adalah aksi separuh akhir Piala FA. Semua pemain sangat gembira kerana kami berjaya melangkah ke perlawanan akhir,” kata pemain Senegal itu.
Dalam pada itu, dia yang menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan turut memuji semangat juang rakan sepasukan apabila berjaya meletakkan The Citizens dalam keadaan tertekan, terutamanya di separuh masa pertama.
“Kami bermula sangat baik dan berjaya menjaringkan tiga gol sebelum rehat separuh masa pertama. Saya juga gembira kerana dapat jaringkan dua gol dan ia adalah disebabkan oleh bantuan rakan sepasukan,” ujarnya. – AGENSI