fbpx

Letak sasaran tinggi Sukan SEA 2021 di Hanoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

DEBARAN untuk menyaksikan temasya sukan paling berprestij rantau Asia Tenggara, Sukan SEA 2021 yang dijadualkan berlangsung di Hanoi, Vietnam bermula 12 hingga 23 Mei depan semakin dirasai.

Situasi ini hadir memandang­kan peminat sukan antarabangsa cukup merindui suasana kejohanan bertaraf temasya selepas banyak acara ditangguh susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada awal tahun 2020.

Kontinjen Malaysia hanya menghantar wakil pada temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun lalu dan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing, China awal tahun ini.

Berdasarkan pengumuman ­yang dilakukan oleh Majlis ­Olimpik Malaysia (MOM), kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2020 di Hanoi bakal diwakili 818 peserta termasuk 612 atlet.

Seramai 226 atlet berada di bawah Kategori A dan 386 di bawah Kategori B, manakala pegawai serta barisan kejurulatihan yang bakal ke sana berjumlah 206 orang.

Difahamkan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker telah meletakkan sasaran awal sebanyak 31 pingat emas bagi kontinjen kebangsaan pada temasya dwitahunan yang dianjurkan buat kali ke-31 itu.

Namun, pemerhati sukan tahah air, Dr. Pekan Ramli berpendapat, angka yang diberikan itu adalah langkah ‘selamat’ memandangkan jumlah atlet yang dihantar kali ini cukup ramai.

“Saya rasa kita tidak sepatutnya hanya meletakkan sasaran sebanyak 31 pingat emas dan berdasarkan apa yang saya diberitahu, jumlah tersebut belum rasmi dan angka sebenar hanya akan dimaklumkan sebelum berlepas ke sana nanti.

“Di atas kertas, saya percaya jumlah sasaran yang perlu diberikan sewajarnya adalah lebih tinggi kerana pihak pengurusan perlu yakin dengan keupayaan atlet selepas menghantar lebih 600 peserta kali ini.

“Malah, sasaran yang diletakkan kali ini cukup rendah jika dibandingkan ketika bersaing di temasya Sukan SEA 2019 di Filipina yang mana kontinjen kebangsaan berjaya meraih 56 pingat emas keseluruhan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Namun, Pekan mengakui sasaran yang agak rendah itu mungkin disebabkan oleh kontinjen kali ini menghantar ramai atlet muda serta pelapis untuk mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Kemungkinan besar hampir tiga tahun tanpa sebarang temasya kompetitif menyaksikan pihak pengurusan tidak berani untuk meletakkan sasaran tinggi.

“Selain itu, saya juga lihat Sukan SEA sebagai platform untuk mengetengahkan bakat muda serta atlet pelapis sebagai persediaan untuk bersaing pada temasya lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel nanti.

“Cuma, saya harap mungkin lebih baik sasaran dibuat agar penanda aras yang diberikan le­bih tinggi buat mereka agar atlet dapat tampil lebih bersemangat dan bukan menjadikan penyertaan sekadar meraih pengalaman,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA nanti, Datuk Nur Azmi Ahmad percaya sasaran 31 pingat emas adalah realistik selain percaya anak-anak buahnya dapat berada dalam kelompok tiga teratas bagi pungutan pingat keseluruhan nanti.

“Kita sasarkan tiga tempat teratas dan ini adalah masa untuk barisan atlet hargai apa yang kerajaan telah belanjakan dengan menyumbangkan pingat pada temasya Sukan SEA nanti.

“Berdasarkan lawatan yang saya lakukan sebelum ini, ada beberapa acara sukan meletakkan sasaran 12 pingat emas dan hari seterusnya ada gambaran boleh menyumbangkan 16 emas.

“Justeru, saya anggap 31 pi­ngat emas tidak sukar untuk direali­sasikan dan sasaran itu boleh dikekalkan. Jika kita dapat lebih, jumlah tersebut boleh dianggap bonus,” katanya.

Pencapaian terbaik kontinjen negara sudah tentulah ketika edisi ke-29 di Kuala Lumpur pada 2017 apabila bergelar juara keseluruhan dengan 145 pingat emas berjaya diraih. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI