KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan menipu ‘bakal isterinya’ yang menjanjikan perkahwinan sehingga wanita itu menyerahkan wang tunai serta barang kemas berjumlah RM152,500.
Bagaimanapun, tertuduh Hisyah Sayuti, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut kertas pertuduhan, Hisyah didakwa menipu seorang kerani wanita berusia 40 tahun dengan curang memperdayakannya untuk menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai RM152,200 perkahwinan tidak wujud yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini, antara 6 Februari 2022 hingga 6 Mac 2022 yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan hanya membuat kerja di kampung dan tiada pendapatan tetap.
Selepas mendengar permohonan kedua-belah pihak mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE.