KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membina kolej untuk pelajar tingkatan enam yang pertama sekali gus menjadi mercu tanda baharu dalam melonjakkan sektor pendidikan di Kelantan pada masa hadapan.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pembinaan kolej yang dilengkapi dengan 20 bilik darjah dan kemudahan lain itu akan dibina di kawasan Bukit Cina, Kok Lanas di sini.
Menurutnya, pemilihan lokasi itu disifatkan cukup strategik apabila ia terletak berhampiran jalan utama yang menghubungkan Kota Bharu dengan Gua Musang.
“Pembinaan kolej ini dapat memberi peluang kepada anak-anak Kelantan untuk mengikuti pendidikan peringkat lepasan menengah di premis kolej tingkatan enam yang lengkap
“Pembinaan kolej ini mampu memacu kecemerlangan pendidikan negara melalui penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik untuk generasi muda pada masa hadapan khususnya di Kelantan,” katanya menerusi satu hantaran yang dikongsikan menerusi entri laman sosial Facebook rasmi miliknya hari ini.
Sebelum itu, Radzi turun padang melawat tapak pembinaan kolej berkenaan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Jabatan Kerja Raya.
Radzi memberitahu, sehingga kini, terdapat 23 kolej tingkatan enam yang sedang beroperasi di seluruh negara.
Beliau berkata, antara negeri yang masih belum mempunyai kemudahan ini ialah Perlis, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan,Putrajaya dan Labuan. – KOSMO! ONLINE.