JAKARTA – Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD, menafikan aplikasi pemantauan kes Covid-19 negara itu, PeduliLindungi sebagai melanggar hak asasi manusia, lapor laman berita Tribunnews, kelmarin.
Kenyataan itu susulan tuduhan Kementerian Luar Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan bahawa aplikasi itu menyimpan maklumat rakyat tanpa kebenaran dan melanggar hak privasi individu.
“Pemerintah Indonesia mencipta Aplikasi PeduliLindungi untuk menangani Covid-19 dengan sebaik mungkin, tetapi dianggap sebagai pelanggaran hak asasi manusia.
“Sedangkan dengan adanya aplikasi ini telah menjadikan Indonesia antara negara terbaik di Asia dalam menangani wabak Covid-19,” kata Mahfud.
Menurut rekod, AS berada di tangga tercorot bersama Colombia, Mexico dan Brazil dari segi pengendalian Covid-19.
Indonesia pula menduduki tempat keempat dalam kes pengendalian Covid-19.
Tambah Mahfud, tuduhan pencabulan hak asasi manusia yang dirujuk oleh AS adalah rekod berdasarkan laporan yang sumbernya tidak dikenal pasti.
“Apa yang penting adalah semuanya berjalan mengikut garis panduan negara masing-masing untuk menyelamatkan rakyatnya,” sambung Mahfud. – Agensi