PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir serta hujan lebat membabitkan beberapa kawasan di negeri Perak dan Pahang sehingga pukul 1 tengah hari, hari ini.
“Hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang dijangka akan melanda negeri Perak melibatkan daerah Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak dan Batang padang.
“Selain itu, cuaca buruk yang sama diramalkan tertumpu sekitar Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Pekan dan Rompin di Pahang bagi tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Sementara itu, MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan ramalan cuaca terkini agar dapat membuat persiapan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam. – KOSMO! ONLINE.