fbpx

Gandingan JDT buat Ulsan Hyundai resah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FORESTIERI (kanan) menimbulkan resah skuad Ulsan Hyundai ekoran ketajamannnya melakukan sentuhan penyudah.

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

AKSI memukau gandingan Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva pada aksi pembukaan Liga Juara-juara Asia (ACL) mengundang resah buat pengendali Ulsan HyundaiFC, Hong Myung-bo yang perlu mencari jalan bagi merantai kelibat penyerang import itu.

Myung-bo berkata, beliau akan memikirkan cara terbaik bagi mengunci gerakan gandingan penyerang import Harimau Selatan itu bagi membolehkan anak buahnya bermain dengan lebih baik seterusnya meneruskan misi memburu kemenangan pertama.

Bekas jurulatih Korea Selatan itu berkata, tumpuan lebih akan diberikan kepada penyerang kelahiran Brazil itu setelah Bergson pernah mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Korea ketika bersama pasukan Suwon Bluewings dan Busan IPark sebelum ini.

“Apa yang kami dapati, kedua-dua penyerang import ini mempunyai kombinasi yang baik antara satu sama lain selain bijak melakukan gerakan yang boleh mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

“Jadi, kami perlu ada perancangan yang rapi untuk mengekang kemaraan mereka berdua dan berhati-hati ketika merantai pergerakan mereka, kita tidak mahu pasukan terjerat dengan muslihat tipu helah mereka.

“Untuk perlawanan menentang JDT ini, kami perlu memberi konsentrasi sepenuhnya kerana mungkin mereka akan tampil dengan corak permainan yang berbeza berbanding ketika menentang Guangzhou FC sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Myung Bo turut bertekad untuk menjadikan Harimau Selatan sebagai mangsa pertama mereka setelah kempunan mengutip tiga mata ketika hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 ketika menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi pembukaan Kumpulan I.

Katanya, kecuaian di akhir minit permainan menyebabkan pasukan lawan berjaya memperoleh gol penyamaan ketika perlawanan hampir tamat untuk mencuri satu mata dari tangan mereka.

“Tidak dinafikan kami sedikit kecewa gagal meraih tiga mata pada perlawanan pertama, bagaimanapun keputusan tersebut tidak menjejaskan moral dan persediaan pemain untuk mengutip tiga mata ketika berdepan JDT,” ujarnya.

Tambahnya, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan mengekalkan kesebelasan utama ketika menentang Kawasaki Frontale atau melakukan pertukaran untuk memastikan pemain yang diturunkan adalah cergas sepenuhnya.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Ulsan Hyundai, Lim Jong-eun berkata, pemain perlu memberikan tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali sekali gus merencatkan peluang mereka untuk layak ke pusingan seterusnya.

“Kami sepasukan akui JDT adalah sebuah pasukan yang berkualiti, jadi kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka sebaliknya melakukan yang terbaik bagi memastikan pasukan berjaya meraih kemenangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI