fbpx

Derita perut penuh air, pinggang jadi 78 inci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD SHAHRUL NIZAM kini tidak mampu berjalan selepas diserang penyakit misteri sejak tujuh tahun lalu ketika ditemui di rumahnya di Klang semalam.

KLANG – Seorang bekas pekerja pengendali peralatan kontena di Pelabuhan Utara menderita pe­nyakit misteri sejak tujuh tahun lalu yang menyebabkan perutnya dipenuhi air dan membesar sehingga ukur lilit pinggang melebihi 200 sentimeter (78 inci).

Ahmad Shahrul Nizam Na­yan, 54, yang tinggal di Kampung Nelayan Teluk Gong berkata, pe­nyakit itu menyebabkan dia hanya mampu terbaring di katil ke­rana sudah tidak mampu berdiri seperti sebelum ini.

“Selepas disahkan tidak sihat oleh Lembaga Perubatan tujuh tahun lalu, saya tidak bekerja lagi dan dalam masa yang sama perut terus membesar hingga berat badan daripada 90 kilogram (kg) kini mencecah 216kg dalam masa tujuh tahun.

“Apabila diserang sesak nafas sememangnya menjadi masalah untuk saya masuk ke dalam ambulans hingga menyebabkan kenderaan bomba datang menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya ketika ditemui semalam.

AKIBAT menderita perut dipenuhi air, ukuran pinggang Ahmad Shahrul Nizam kini mencecah 78 inci.

Lelaki itu yang dijaga isteri­nya, Ra­hayu Abdul Malik, 52, berkata, dia mendapat pencen ilat RM1,400 dan bantuan perubatan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM400.

Katanya, pendapatan seba­nyak itu tidak dapat menampung kos perubatan, sewa beli rumah, makanan seharian dan bil utiliti.

“Bantuan yang saya perlukan adalah untuk menampung kos perubatan, peralatan rawatan melecet kulit dan lain-lain ubat yang melebihi RM900.

“Buat masa ini saya terpaksa berjimat cermat bagi meneruskan kehidupan. Baru-baru ini kami menjadi mangsa banjir yang menyebabkan kerugian ribuan ringgit membabitkan perabot dan kerosakan kenderaan,” katanya.

Ujarnya, anak-anaknya, Mohd.Hazrin Shah, 31; Siti Nur Syafinaz, 30, dan Mohd. Aminuddin Shah, 29, hanya bekerja sebagai kakitangan swasta dengan pendapatan sederhana dan mempunyai komitmen masing-masing.

Tambahnya, doktor pernah mencadangkan pembedahan bariatrik atau memotong usus tetapi risikonya tinggi ke­rana dia kini menghidap kencing manis.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 10104-41-00010574-7 atas nama ­Ahmad Shahrul Nizam Nayan atau meng­hubunginya di talian 012-2087765. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI