fbpx

‘Bila masa saya kahwin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuk menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dirinya sudah berkahwin dengan skandalnya, Fara Salleh.

PETALING JAYA – Pelawak dan pengacara kontroversi Shuk Sahar menafikan dakwaan sudah pun berumah tangga dengan Fara Salleh yang didakwa kekasih gelapnya sebelum ini.

Shuk ketika dihubungi Kosmo! berkata, dia betul-betul terkejut dengan dakwaan tidak berasas tersebut apatah lagi kemelut rumah tangganya dengan isteri, Rossa Sera masih belum selesai.

“Bila masa saya berkahwin? Pada saya, kalau nak buat apa pun berkaitan dengan hubungan saya, lebih baik saya selesaikan satu persatu isu yang ada dahulu.

“Hubungan saya dengan Sera pun tak tahu pengakhirannya macam mana. Jadi, saya sedang aturkan yang terbaik. Bukan untuk kehidupan saya, tetapi untuk semua pihak, daripada semua sudut, keluarga dan anak-anak.

“Doakanlah yang terbaik sebab saya pun dah penat nak cakap itu dan ini,” katanya.

Tambah bekas pengacara I Can See Your Voice itu lagi, dia sudah serik dan takut untuk memberi penjelasan setiap kali isu berkaitannya timbul.

“Bila saya cakap begini, orang kata saya nak berlakon jadi mangsa. Bila saya mengaku salah, orang kata saya bangga pula dengan kesalahan yang dibuat. Jadi saya nak jawab macam mana lagi?

“Itu sebab saya cuma minta semua orang doakan yang terbaik saja untuk saya. Tapi pasal kahwin itu, memang betul saya belum berkahwin lagi.

“Buat masa sekarang, saya punya perancangan hidup itu lebih kepada nak fokus bisnes makanan yang saya tengah usahakan sekarang ini. Tak fikir pun pasal hal lain,”katanya.

Sekadar info, Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada tahun 2015.

Terdahulu, isu pergolakan semula rumah tangga Shuk dan Sera tular dalam media sosial berikutan pendedahannya tentang Shuk yang didakwa berlaku curang.

Menerusi beberapa perkongsian hantaran yang dimuat naik Sera, dia mendedahkan Shuk masih lagi menjalin hubungan bersama wanita lain dan isu berkaitan berulang kali bertebaran di media sosial dan di media massa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI