PETALING JAYA – Pasukan Terengganu FC (TFC) melakar kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan Sarawak United 2-0 pada aksi Liga Super sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Negeri, Kuching itu, skuad TFC yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain membariskan kesebelasan terbaik dengan menyeraikan jentera serangan berbisa seperti Kpah Sherman, Faisal Halim dan Habib Haroon Saeed.
Pasukan Sang Penyu dilihat tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila meraih jaringan seawal minit ke-8 hasil ledakan yang dilakukan oleh Sherman selepas menerima hantaran Habib.
Namun, Sherman yang juga bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA FC) menjadi duri dalam daging apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-35 selepas melakukan terjahan keras ke atas pertahanan tuan rumah, Gonzalo Soto.
Bersambung pada babak kedua, skuad tuan rumah yang dikendalikan oleh B. Sathiananthan berusaha untuk bangkit bagi memanfaatkan peluang selepas TFC bermain dengan 10 pemain.
Namun, jentera serangan yang diketuai oleh Uche Agba gagal menguji benteng pertahanan skuad pelawat.
TFC akhirnya mengesahkan tiga mata berharga apabila pemain gantian, Muhd. Zuasyraf Zulkiefle menjaringkan gol kedua menerusi serangan balas pantas pada masa kecederaan dan keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE