BANDAR RAYA NEW YORK – Suami kepada bekas puteri Jepun, Mako Komuro dilaporkan gagal dalam peperiksaan peguam di negeri New York untuk kali kedua, lapor akhbar Bangkok Post kelmarin.
Kei Komuro gagal dalam peperiksaan peguam di New York buat kali pertama pada Julai tahun lepas. Beliau mengambil ujian sama untuk kali kedua pada Februari lalu dan dijangka mengambil peperiksaan itu semula Julai tahun ini.
Kei berkahwin dengan anak saudara Maharaja Naruhito itu di tengah-tengah kritikan berhubung masalah kewangan melibatkan ibu dan bekas tunangnya.
Pasangan itu yang kedua-duanya berusia 30 tahun, meninggalkan Jepun untuk memulakan kehidupan baharu di New York, Amerika Syarikat (AS).
Menurut penganjur, seramai 3,068 calon menduduki peperiksaan peguam itu dan hanya 1,368 atau 45 peratus daripada mereka lulus.
Kei mula bekerja sebagai kerani undang-undang di sebuah firma guaman di New York selepas menamatkan pengajian di Sekolah Undang-Undang Universiti Fordham dengan kelulusan ijazah Doktor Juris pada Mei 2021.
Undang-undang Jepun menyatakan bahawa kerabat diraja wanita perlu untuk melepaskan status mereka apabila berkahwin dengan rakyat biasa.
Sejak pasangan itu mengadakan sidang akhbar pada 26 Oktober 2021 iaitu pada hari pendaftaran perkahwinan mereka, Mako Komuro mendedahkan bahawa beliau yang meminta suaminya meneruskan rancangan untuk belajar dan tinggal di luar negara. – Agensi