PUTRAJAYA – Proses penyiasatan terhadap aduan diterima daripada pengguna kemungkinan besar boleh disingkatkan tempoh masanya sekiranya terdapat seramai 5,000 penguat kuasa.
Gambaran itu dibayangkan oleh Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam sebagai mengulas isu kekurangan tenaganya.
“Secara umum, setiap aduan akan disiasat yang mesti diselesaikan dalam tempoh 21 hari dan hasil tindakan akan dilapor terus kepada pengadu semula melalui portal e-aduan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar khas di sini baru-baru ini sempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Jubli Emas Hari Penguat Kuasa kementerian itu pada 17 April.
Sehingga kini, bahagian tersebut hanya mempunyai seramai 2,234 pegawai dan anggota yang menjalankan segala tugas penguatkuasaan dan pemantauan setiap hari di seluruh negara.
Bermula asal dengan cuma 12 anggota daripada Lembaga Padi dan Beras Negara pada 1972, bilangannya bertambah secara berperingkat dan mula dibekalkan uniform khusus sejak 2014.
Bahagian itu turut setaraf agensi penguatkuasaan lain apabila bermula pada 2020 lalu, ia memiliki tenaga kejurulatihan sendiri yang meliputi kawad, menembak, jasmani dan paramedik.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya perlu mengubah pendekatan penguatkuasaan secara keras dan agresif yang banyak turun padang kepada lebih kaedah penggunaan teknologi.
“Kali ini, kami banyak kepada kegiatan risikan di lapangan, pemprofilan data dan sebagainya sejajar era pendigitalan apatah lagi berdepan cabaran melibatkan banyak kes siber,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE