TUMPAT – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 57 notis kompaun yang bernilai RM6,400 terhadap peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri ini sejak hari pertama puasa kira-kira dua minggu lalu.
Pengarah JKNK, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, jumlah notis kompaun yang dikeluarkan itu hasil pemeriksaan terhadap 818 gerai melibatkan seramai 1,692 pengendali makanan di bazar Ramadan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan peniaga didapati tidak mengikuti kursus pengendalian makanan anjuran JKNK selain tiada suntikan pengendali makanan sepanjang pemeriksaan dijalankan.
“Selain itu, peniaga yang tidak memakai pakaian sesuai semasa berniaga di bazar Ramadan turut dikompaun.
“Kesemua notis kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya selepas melancarkan Kempen Budaya 3M Bazar Ramadan di Wakaf Bharu di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE