SHANGHAI – Polis kota raya Shanghai dilaporkan memulakan operasi merampas kediaman penduduk secara paksa bagi tujuan dijadikan pusat kuarantin, lapor akhbar The Sun UK, kelmarin.
Satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan anggota-anggota polis dalam sut perlindungan diri (PPE) bertengkar dengan pemilik rumah yang enggan mengosongkan kediaman mereka.
Jeritan kedengaran ketika sejumlah besar anggota polis mengarahkan penduduk di sebuah kompleks perumahan keluar daripada kediaman masing-masing.
“Ini yang berlaku di Shanghai. Polis menyerbu rumah dan mengheret penghuni keluar,” kedengaran suara dalam rakaman itu.
Menurut media tempatan, flat di kompleks Zhangjiang Nashi itu akan digunakan sebagai pusat kuarantin pesakit Covid-19.
Penduduk diberitahu pada 14 April lalu bahawa mereka terpaksa berpindah untuk memberi laluan kepada pesakit Covid-19.
Penghuni kawasan kejiranan itu mengadakan protes tetapi berakhir dengan mereka semua diusir keluar oleh pihak polis.
Pihak berkuasa Shanghai kini bergelut untuk membendung wabak Covid-19 dengan lebih 20,000 kes positif dilaporkan setiap hari sejak 10 hari lepas.
Hampir 25 juta penduduk bandar raya itu terperangkap di rumah mereka susulan perintah berkurung yang disifatkan paling ketat di dunia. – Agensi