MILAN – AC Milan terus berada pada landasan tepat untuk merangkul kejuaraan Scudetto musim ini sekali gus menamatkan penantian lama sejak menjuarai Serie A edisi 2010/2011.
Kemenangan 2-0 ke atas Genoa di San Siro awal pagi semalam meletakkan Milan kekal memegang kelebihan dua mata ke atas seteru tradisi di tempat kedua, Inter Milan.
Bagaimanapun, Inter yang menewaskan Spezia 3-1 awal pagi semalam, juga masih berpeluang merampas takhta pendahulu untuk mempertahankan gelaran musim lalu kerana memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding Milan.
Laluan Milan dilihat lebih mencabar kerana perlu berdepan tiga pasukan sukar dalam baki lima aksi selepas ini menentang Lazio, Fiorentina dan Atalanta.
Inter pula hanya perlu berdepan AS Roma yang dijangka mampu menghadirkan kesukaran buat juara bertahan itu sebelum bertemu empat pasukan daripada kelompok pertengahan liga.
Ketua Jurulatih Milan, Stefano Pioli tidak tertekan dengan situasi pasukannya kerana percaya anak-anak buahnya mampu melepasi setiap halangan yang bakal dihadapi mereka selepas ini.
“Saya menjangkakan Inter juga akan berdepan saingan sukar kerana kami pernah tercicir banyak mata ketika menentang pasukan bawahan. Tiada pasukan mendapat laluan mudah di Serie A.
“Kami akan cuba memenangi setiap perlawanan. Semua pemain menunjukkan mentaliti dan keinginan sama yang membolehkan kemenangan ini diraih,” katanya.
Sebagai rekod, dua gol Milan ke atas Genoa dijaringkan oleh Rafael Leao dan Junior Messiah pada minit ke-11 serta 87. – AGENSI