SETIU – Mayat seorang guru yang hilang dibawa arus deras ketika sedang memukat ikan di muara Sungai Kuala Baru, Mangkuk di sini semalam berjaya ditemui awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mayat Sugani Yasin, 51, ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 12.22 tengah malam.
“Lokasi penemuan mayat mangsa tidak jauh dari kawasan dia dilaporkan hilang sewaktu sedang memukat ikan pada awal pagi semalam.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan keceriaan 15 sekawan memukat ikan berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas di Pantai Kuala Baru, Mangkuk di sini.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam itu, mangsa, Sugani yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buluh di sini dihanyutkan arus laut sewaktu sedang menarik pukat bersama rakan-rakannya.
Lelaki itu dikatakan telah turun dari bot dinaikinya sebelum termasuk ke dalam laluan air laut agak dalam lalu hilang dihanyutkan aliran deras. – KOSMO! ONLINE