JAKARTA – Gabungan pelajar yang menganggotai Badan Eksekutif Mahasiswa Indonesia (BEM SI) akan kembali mengadakan tunjuk perasaan pada 21 April ini, lapor laman berita Kompas, semalam.
Koordinator Wilayah BEM SI, Muhammad Yusuf berkata, terdapat empat tuntutan yang akan disuarakan dalam protes tersebut.
Tuntutan pertama adalah menggesa Kementerian Perdagangan Indonesia supaya menyelesaikan masalah kekurangan minyak masak.
“BEM SI menuntut Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi untuk segera menyelesaikan masalah kekurangan minyak masak dalam negara kerana ada permainan kartel dan mafia komoditi tersebut,” kata Yusuf.
“Kedua adalah menolak kenaikan harga bahan api. Ketiga, menolak kenaikan kadar cukai tambah nilai (VAT) dan akhir sekali, menolak lanjutan tempoh jawatan Presiden Indonesia kepada tiga penggal.
“Buat masa ini, berdasarkan hasil kajian kami, inilah tiga permintaan utama dan kami akan meneruskan kajian di sektor lain,” kata Yusuf.
Tambah Yusuf, lokasi untuk mengadakan demonstrasi itu masih dalam proses perbincangan.
Pada 11 April lalu, BEM SI telah mengadakan sesi demonstrasi untuk mengemukakan tuntutan hampir sama di pekarangan Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat di Senayan, Jakarta.
Pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi meleraikan perhimpunan itu yang bertukar kecoh apabila peserta mula melempar batu pada bangunan pemerintah. – Agensi