Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak memberi muka kepada kelab China, Guangzhou FC yang menurunkan pasukan kedua untuk mencipta rekod kemenangan terbesar 5-0 pasukan dalam saingan Liga Juara-juara Asia (ACL) malam kelmarin.
Ketua jurulatihnya, Benjamin Mora berkata, kemenangan bergaya itu adalah hasil usaha keras pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang tanpa menghiraukan siapa lawan mereka dan pada masa sama, komited terhadap percaturan yang diterapkan.
Katanya, kejayaan mengutip tiga mata pada aksi pembukaan ACL di laman sendiri amat penting bagi menyuntik semangat buat pemain mengharungi perlawanan mendatang yang lebih mencabar dengan lawan yang menggerunkan.
“Saya berpuas hati dengan keputusan ini, kami bermain dengan baik sejak minit pertama secara kolektif sebagai satu unit, setiap pemain tahu peranan masing-masing dan mampu menerapkan strategi yang dirancangkan.
“Bukan mudah untuk mencipta rekod kemenangan terbesar buat kami di pentas kejohanan yang berprestij ini, kemenangan ini adalah hasil usaha keras pemain bersandarkan pengalaman berharga yang ditimba dalam ACL sejak beberapa tahun yang lalu.
“Kami hormati Guangzhou, mereka cuba untuk memberi tentangan, tetapi kami lebih bersedia setelah meningkatkan rentak permainan, melakukan hantaran pantas menembusi benteng pertahanan mereka,” katanya pada sidang akhbar malam kelmarin.
Penyerang sensasi JDT, Bergson Da Silva dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan setelah meledak hatrik ketika membantu pasukan berada di posisi teratas saingan Kumpulan I ketika perlawanan antara Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai berakhir 1-1.