SHAH ALAM – UMNO Selangor menyokong penuh cadangan mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Tan Sri Noh Omar berkata, Ismail membuktikan keupayaan sebagai Perdana Menteri kesembilan yang cemerlang berbekalkan integriti sejak dilantik pada 20 Ogos tahun lalu.
“Ia terutama dalam menyatupadukan rakyat dan negara sehingga mengembalikan kestabilan politik yang amat diharapkan ketika ini.
“Pengenalan konsep Keluarga Malaysia oleh beliau turut menyuntik semangat rakyat untuk bangkit daripada kemelut pandemik Covid-19 dan bersama kerajaan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail yang juga Naib Presidennya sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, Noh berkata, UMNO Selangor yakin keputusan berkenaan akan diterima baik oleh rakyat jelata.
“Menerusi karisma Ismail, UMNO, Barisan Nasional (BN) dan sekutunya terutama di Selangor akan mampu bangkit semula merampas kembali negeri ini daripada PH,” katanya. -KOSMO!ONLINE