Gadis Pesona Ahad minggu ini, Nurul Ellyna Anuar menempa nama dalam dunia peragaan seawal usia 17 tahun. Selain memiliki rupa paras cantik, bekas Ratu Hijabista 2020 ini seorang individu yang berdikari.
Gadis berusia 23 tahun yang mesra dipanggil Ellyna ini mengakui bukan mudah untuk membahagikan masa antara kerjaya sambilan sebagai model muslimah, menguruskan bisnes tudung dan belajar.
Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bersama pelajar semester akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Alam yang berkongsi serba sedikit mengenai diri serta minatnya.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan tentang Ellyna?
Ellyna: Saya merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan berasal dari Johor Bahru. Ketika ini, saya masih menuntut di UiTM sambil menguruskan bisnes tudung, Ellaxurescarves. Saya juga terlibat dalam peragaan sebagai model muslimah.
Dari raut wajah, Ellyna dilihat pemalu dan pendiam. Adakah ini karakter anda?
Saya seorang yang peramah dan mudah mesra dengan seseorang tetapi ada yang menganggap saya seorang introvert.
Detik penglibatan dalam bidang peragaan?
Segalanya bermula ketika usia 17 tahun selepas saya ditawarkan sebagai model utama sebuah jenama tudung tempatan. Saya memang minat fesyen dan suka bergambar, di sampng itu dapat memperaga pakaian klien sekali gus mempelajari trend dan selok belok dunia perniagaan.
Bagaimana terlibat dalam Ratu Hijabista?
Pada tahun 2020, saya mencuba nasib selepas terlihat iklan dalam media sosial. Pada mulanya, bapa agak keberatan untuk mengizinkan saya menyertai rancangan realiti itu, namun mula menyokong selepas melihat kesungguhan dan minat saya dalam bidang ini.
Apa yang orang tidak tahu mengenai Ellyna?
Saya seorang yang mudah mengalirkan air mata sekiranya melihat sesuatu kejadian yang menyayat hati. Tetapi sekiranya bad mood, saya gemar window shopping.
Perasaan Ellyna menyambut Ramadan tahun ini?
Sebagai perantau, sudah tentu saya berasa sedih kerana belum berpeluang untuk berbuka puasa bersama keluarga di Johor disebabkan pelbagai komitmen yang harus diselesaikan.
Pesanan Ellyna untuk anak muda yang ingin ceburi dunia peragaan?
Jangan takut, yakin dan terus melangkah ke hadapan. Kita harus berani mencuba benda baharu kerana kita tidak akan tahu yang mana satu rezeki kita. Jadi kena berusaha.
Bagaimana pula dengan ciri-ciri lelaki idaman?
Hormat orang tua. Bagi saya, lelaki yang menghormati ibu bapa, mereka akan menghormati orang lain termasuk saya sebagai pasangannya. Yang paling penting, dia tidak kedekut.