BACA berita harus seperti perbualan dan bukannya macam robot atau sekadar menjadi burung kakak tua yang hanya membaca tetapi langsung tidak memahami apa yang disampaikan.
Demikian respons ringkas pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi ketika ditanya mengenai kelemahan dan cabaran yang masih belum ditembusi stesen televisyen negara ini.
“Kalau bercakap soal kelemahan penyampai berita zaman milennial masa kini, kebanyakan penyampai berita masih di takuk lama,” tegasnya lagi.
Menurut Aznil, rata-rata penyampai berita di negara ini belum cukup ‘rasa’ dan memberi ‘nyawa’ dalam penyampaian, sekali gus menjadi antara penyumbang kepada kelemahan wadah pemberitaan secara total.
Aznil berkata demikian ketika sidang akhbar pengumuman kolaborasi strategik Berita 7.57 Awesome TV dan Datuk Aznil Nawawi di ibu negara baru-baru ini.
Kolaborasi tersebut menyaksikan pengacara popular itu dilantik sebagai tenaga pengajar atau mentor bagi melatih barisan penyampai berita program Berita 7.57 saluran Awesome TV.
Menerusi kerjasama tersebut, Aznil mahu memberikan rasa dan nyawa dalam konteks penyampaian berita yang dilihat masih tiada perubahan.
“Kalau sebelum ini saya dah lahirkan ramai bintang dalam kalangan penyampai berita dan pengacara hebat, termasuk ketika bekerja di stesen televisyen sebelum ini.
“Jadi, hari ini saya melangkah ke stesen yang menyampaikan berita dengan nada kelantangan mereka sendiri.
“Ini yang akan saya bentuk. Kadang-kadang kehebatan sebuah berita itu tidak sampai kepada penonton disebabkan kesilapan penyampai berita itu sendiri.
“Jadi ini tugas saya untuk senadakan semua itu. Saya tidak usik hal-hal content (kandungan), cukup sekadar menggilap mereka (penyampai) untuk jadi lain daripada yang lain,” katanya.
Berpengalaman selama tiga dekad dalam dunia kewartawanan penyiaran dan pengacaraan, Aznil akan menggunakan sedikit ilmu yang ada bagi membimbing empat penyampai utama, Berita 7.57 ketika ini.
“Saya pernah lalui era serius, bahasa baku dan kemudian beralih ke pengacaraan santai.
“Gabungan ini bukan nak menjadi pembaca yang ada perasaan, tapi memperkenalkan lebih kepada gaya perbualan.
“Saya nak membawa pengalaman lama dengan pendedahan sekarang. Ini cabaran agar pembacaan berita ditonton pelbagai golongan usia.
“Soal relevan atau tidak, harus ingat macam mana saya relevankan diri sampai hari ini mengikut selera penonton. Saya cuba berikan rasa dan approach (pendekatan) agar boleh terus ke depan dan kekal diterima,” ujarnya.
Berita 7.57 yang mengangkat slogan ‘Rakyat Keutamaan Kami’ bersiaran setiap hari bermula pukul 7.57 hingga 8.30 malam dan boleh ditonton menerusi platform Astro saluran 123 serta MyTV saluran 112.