LYON – Pengurus West Ham United, David Moyes menggesa barisan pemainnya supaya bersedia untuk menjadi pasukan pilihan selepas melayakkan diri ke separuh akhir dalam saingan Liga Europa musim ini.
The Hammers menyingkirkan Olympique Lyon pada pusingan suku akhir selepas mencatat kemenangan 3-0 pada aksi timbal balik yang berlangsung di Stadium Groupama awal pagi semalam.
Tiga gol menerusi Craig Dawson, Declan Rice dan Jarrod Bowen membolehkan West Ham menang 4-1 secara agregat, sekali gus mara ke separuh akhir Liga Europa buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.
“Kami bukanlah pasukan pilihan untuk memenangi Liga Europa, tetapi sekarang saya mahu semua pemain fikir West Ham berada dalam landasan terbaik bagi menjulang kejuaraan ini.
“Saya sangat bangga dengan prestasi yang ditampilkan seluruh pasukan. Saya juga lega kerana kami dapat bangkit dengan aksi lebih baik berbanding pada pertemuan pertama sebelum ini,” kata Moyes.
Bekas pengendali Manchester United itu juga percaya mereka boleh melakar keajaiban dengan memenangi saingan Liga Europa musim ini selepas sudah lama tidak menjulang sebarang trofi.
“Kami melakukan sesuatu yang cukup baik dalam tempoh dua tahun walaupun belum memenangi trofi. Kami boleh berbangga kerana menewaskan beberapa pasukan yang cukup berpengalaman di pentas Eropah,” ujarnya.– AGENSI