BALIK PULAU – Keterujaan tiga pelesit rempit mempamerkan aksi tunggangan berbahaya memakan diri apabila mereka diberkas dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Bayan Baru-Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu di sini awal pagi tadi.
Ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya mulai pukul 11 malam hingga 7 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan tiga penunggang dan merampas motosikal di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas melakukan aksi menunggang secara berbahaya termasuk kepada pengguna jalan raya lain.
“Selain menyita dua buah motorsikal, sebanyak 14 keping saman turut dikeluarkan atas kesalahan lain. Mereka dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pihaknya sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan setiap masa terutama pada hujung minggu bagi mengekang kegiatan tersebut di daerah ini. -KOSMO! ONLINE