JIKA sebelum ini Alif Satar bersama konconya, The Locos hanya berkolaborasi dengan kumpulan nasyid legenda Raihan menerusi beberapa single, kali ini agak istimewa apabila mereka mengorak setapak maju ke hadapan menerusi EP atau extended play berjudul The Sunnah The Better.
Sebanyak lima buah lagu yang pernah dipopularkan Raihan diberi nafas semula iaitu Bismillah, 25 Rasul, Puji Pujian x Syukur, Assolatuwassalam dan Rayuan Rindu. Hasilnya tidak langsung mengecewakan.
Merakamkan semula karya-karya yang bersifat evergreen atau malar segar memberi satu kelebihan buat industri terutama kepada para peminat generasi baharu yang tidak berpeluang ‘hidup’ pada zaman ketika Raihan mencipta fenomena tersendiri iaitu sekitar era 1990-an.
Secara peribadi, The Sunnah The Better membuktikan bahawa pertama sekali, Alif Satar & The Locos bukan hanya membikin muzik bersifat pop atau kontemporari semata-mata.
Mereka mempunyai rasa tanggungjawab untuk ‘membasah’ keringat para pendengar tentang kehebatan muzik Raihan yang pernah meletus hebat suatu ketika dahulu.
Merdu Alif, komposisi muzik The Locos
Listrik vokal Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd. Satar sangat cocok dengan gaya dan signatur muzik Raihan walaupun hanya mendendangkan lagu bernuansakan karya-karya lama diberi nafas semula.
Dari segi komposisi muzik, The Locos menjayakan peranan mereka sebagai kugiran dengan baik dari segi susunan melodi termasuk menerusi sudut instrumentasi.
Buat segelintir pendengar, lagu-lagu ‘lejen’ Raihan mungkin sudah mesra di halwa telinga, namun buat sesetengah yang lain, barangkali sedikit terasing kerana berlainan generasi.
Sungguhpun begitu, dengan penyatuan dua figura berkenaan diharapkan dapat membuatkan mana-mana golongan peminat berlainan generasi berhibur.
Pada masa sama mengangkat semula jenama atau kuasa muzik nasyid yang pernah bermaharajalela suatu ketika dahulu.
Raihan ‘lejen’
Dalam pada itu, apa yang paling signifikan menerusi kolaborasi kali ini adalah Raihan itu sendiri.
Raihan yang berstatus pemuzik legenda pernah mengharumkan nama Malaysia di seluruh pelosok dunia menerusi antem-antem nasyid mereka sehingga berpeluang mengadakan persembahan di lokasi berprestij, Royal Albert Hall, London.
Lebih dua dasawarsa memeriahkan industri muzik tanah air, Raihan masih ‘berbisa’ dengan harmoni yang kekal merdu dan keserasian antara ahli kumpulan yang tetap teguh.
Biarpun dari segi bilangan ahli kumpulan tidak seperti waktu kemuncak dahulu, Raihan masih mampu membuatkan pendengar merinding dengan gaya nyanyian mereka yang sentiasa setia menetap dalam jiwa serta suntikan mesej-mesej positif terutama tentang kebesaran agama Islam.
Secara keseluruhannya, The Sunnah The Better hadir pada waktu yang tepat iaitu bulan Ramadan buat para peminat.
Sebuah diskografi yang bukanlah untuk mengejar populariti semata-mata tetapi mengubat kerinduan ramai terutama pada Raihan. Terima kasih Alif & The Locos.