fbpx

Rindu hirup udara luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BOHONGLAH jika tiada yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun lalu termasuk golongan ‘kayangan’ khususnya yang terlibat dalam sektor pelancongan.

Tempoh sukar selama dua tahun itu telah mengubah kehidupan mereka termasuk perwatakan sehingga ada yang berubah menjadi seorang yang sugul dan murung serta ada yang hampir berputus asa dengan ujian Allah itu.

Namun, ada juga yang terus berusaha mencuba pelbagai cara bagi mendapatkan hasil bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Antara usaha mereka yang sebelum ini hidup dalam kemewahan terpaksa mengusahakan kios makanan dan minuman serta menjual buah-buahan import di tepi jalan.

Namun, disebalik cabaran tersebut, mereka telah dianugerahkan satu idea baharu untuk membina semula perniagaan masing-masing seiring dengan pembukaan sempadan negara pada awal bulan ini.

Rata-rata pengusaha pelancongan yang berpengalaman ini tidak mampu beralih kepada segmen perniagaan lain kerana mereka sudah bertahun mengabdikan diri dalam dunia pelancongan, jadi tanpa banyak pilihan, pemain ini perlu mencari idea dan semangat untuk terus berdaya saing bangkit kembali.

Tumpuan utama mereka kini adalah segmen penawaran pakej pelancongan premium kepada kumpulan sasaran.

Menurut mereka, ini adalah pasaran berpotensi yang sentiasa mencatat permintaan tinggi termasuk juga daripada golongan pesara yang begitu teruja bercuti dan mengembara ke luar negara.

Terbaharu pakej pengembaraan yang dikendalikan oleh seorang usahawan yang telah melancong ke 80 buah negara dengan menguruskan kira-kira 50 trip perjalanan setahun ini telah membawa sekumpulan veteran berumur lebih 50 tahun melancong ke Maghribi telah membuahkan hasil yang baik dengan kepuasan maksimum daripada peserta yang terlibat.

Mungkin remeh buat seseorang yang baru berusia 42 tahun melayan kerenah para pesara tersebut tetapi ia satu pengalaman unik buat dirinya.

Bertitik tolak daripada pengalaman tersebut, usahawan kini aktif mempromosikan pakej pengembaraan baharu yang menarik dan unik bersesuaian dengan permintaan golongan pesara yang mencari tarikan yang mendamaikan selain berkunjung ke masjid, menikmati makanan dan minuman tempatan selain memenuhi kepuasan untuk membeli-belah.

Kesempatan orang ramai merancang percutian ke luar negara telah menunjukkan industri pelancongan kembali pulih secara berperingkat, seiring dengan keaktifan syarikat penerbangan melancarkan semula pelbagai pakej laluan baharu ke luar negara dengan tawaran tiket murah sebagai promosi awal.

Ramai kini begitu teruja untuk melewati sempadan dan ada juga yang tidak sabar untuk membeli tiket kapal terbang apatah lagi mengemas beg kembara dan memulakan perjalanan masing-masing yang telah dirancang sejak dua tahun lalu.

Selamat terbang rakan kembara semoga rindu kalian semua terubat kembali. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI