JAKARTA – Sebuah klip video di media sosial Indonesia memaparkan senario beberapa remaja menaiki trak pikap cuba mengejutkan penduduk untuk bangun bersahur dengan memasang muzik rancak, lapor laman berita Suara.com.
Video yang dirakam oleh seorang penduduk di bandar Samarinda, wilayah Kalimantan Timur itu dimuat naik dalam akaun TikTok bernama @samarinda_etam.
Menerusi video berkenaan, sebuah trak pikap berwarna hitam dilihat berhenti di tepi sebatang jalan.
Kelihatan beberapa remaja lelaki dan perempuan sedang menari di atas trak pikap tersebut mengikut rentak muzik rancak yang dipasang mereka.
Seorang remaja perempuan yang sedang menari mendapat kecaman netizen apabila dilihat memakai pakaian yang menjolok mata.
Video berkenaan mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Kejut orang sahur atau clubbing?’’ tulis seorang netizen.
“Rindu Ramadan tahun 2011, kejut sahur pakai baldi dan kayu pemukul,’’ komen netizen lain. – Agensi