DUNGUN – Pengguna jalan raya gempar dengan perbuatan seorang individu yang memandu kenderaannya secara melawan arus di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan antara Kuala Abang dan persimpangan Tanjung Jara di sini semalam.
Berdasarkan klip video berdurasi 27 saat yang tular di media sosial tersebut, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, perbuatan individu terbabit memandu melawan arus adalah berbahaya dan boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna lain.
“Kita sedang giat mengesan individu terlibat termasuk menghubungi pihak yang telah memuat naik video berkenaan ke media sosial.
“Berdasarkan video itu, ia melibatkan sebuah kenderaan berwarna kelabu yang dipandu secara melawan arus,” katanya di sini hari ini.
Baharudin berkata, setakat ini, model dan nombor pendaftaran kenderaan terbabit masih sedang dikenalpasti.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil menghubungi polis atau balai polis terdekat untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE