MEMANCING bukan lagi sekadar hobi untuk mengisi masa lapang, tetapi sudah diangkat menjadi aktiviti sukan yang kini diminati ramai.
Jika di darat, kaki pancing kerap berkunjung ke pelbagai lokasi sama ada sungai, tasik atau kolam berbayar untuk melepaskan gian.
Kaki pancing yang gemarkan cabaran meredah lautan pula, sanggup mengeluarkan belanja yang besar semata-masa untuk menyewa bot untuk ke lubuk pilihan.
Namun, bagi Sanadi Subhi, 34, dia mempunyai cara tersendiri untuk melepaskan gian memancing dengan meredah pesisir pantai menggunakan kayak untuk memancing.
Menurut anak jati Cameron Highland, Pahang itu, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti memancing menggunakan kayak kira-kira tiga tahun lalu.
“Aktiviti memancing memang sudah sebati dengan diri saya dan sejak kecil lagi, saya sudah biasa dengan hobi ini.
“Seperti kebanyakan kaki pancing lain, saya kerap berkunjung ke kolam memancing berbayar, selain ke sungai, tasik dan menyewa bot untuk memancing di laut bersama kawan-kawan.
“Tetapi selepas membeli sebuah kayak khas untuk aktiviti sukan memancing penghujung 2019, saya mula jatuh hati dengannya.
“Boleh dikatakan sehingga kini, saya banyak menghabiskan cuti hujung minggu saya dengan memancing dengan menaiki kayak,” katanya yang kini menetap di Gombak, Selangor dan bertugas sebagai juruteknik di sebuah institusi pengajian tinggi di Lembah Klang.
Bercerita mengenai aktiviti tersebut, Sanadi berkata, kebiasaannya dia akan berkunjung ke kawasan pantai berhampiran Pelabuhan Kuantan, Pahang untuk memancing kerana lokasi tersebut dianggap antara yang sesuai untuk aktiviti memancing dengan berkayak.
Selain pantai di Kuantan, dia turut berkunjung ke beberapa lokasi lain seperti Port Dickson di Negeri Sembilan, Pantai Siring (Melaka), Mersing (Johor) dan Pantai Remis (Perak).
Bagaimanapun jelasnya, kawasan pesisir pantai di Pantai Timur Semenanjung khususnya di Kuantan menjadi antara lokasi pilihan kumpulan pemancing berkayak di negara ini.
Ini katanya, disebabkan keadaan lautnya yang kurang bergelora, selain mempunyai banyak ikan.
Jelasnya, sepanjang tiga tahun bergelar pemancing kayak, dia telah berjaya menaikkan pelbagai spesies ikan laut yang kerap menjadi buruan kaki pancing.
Antaranya termasuk tenggiri, kerapu, jenahak, ebek dan gerepoh, atau lebih dikenali dengan panggilan ikan giant trevally dalam kalangan kaki pancing tegar.
Kata Sanadi lagi, setiap kali berkayak untuk memancing, dia akan membawa tiga set joran dengan masing-masing dilengkapi dengan tali utama bersaiz antara 20 paun hingga 30 paun dan dipadankan dengan mata kail bersaiz 1/0 dan 2/0.
Setiap joran tersebut katanya, mempunyai fungsi berbeza, iaitu set pertama untuk memancing teknik apollo bagi mencari anak ikan hidup untuk dijadikan umpan.
Set kedua pula digunakan untuk memancing kaedah trolling atau menunda ketika kayak dikayuh di tengah laut.
Bagi set ketiga, ia digunakan sama ada untuk teknik pancingan dasar, jigging atau casting.
Ujarnya, memancing di atas kayak tidak sama seperti memancing di atas bot.
Jika di atas bot katanya, kita mempunyai rakan-rakan yang boleh membantu, selain bebas bergerak untuk mencari kedudukan sesuai ketika menaikkan ikan.
“Memancing di atas kayak, pergerakan sangat terbatas dan perlu menggunakan kudrat dan kemahiran sendiri untuk menaikkan ikan kerana saya berseorangan.
“Lebih mencabar apabila perlu mengayuh kayak dari pantai ke lokasi yang ingin dituju untuk mencari port sesuai.
“Ia sama ada di kawasan dasar berbatu atau mempunyai batu karang sebelum melabuhkan umpan,” katanya.
Kata Sanadi, bagi memudahkannya mencari lubuk ikan, dia turut menggunakan sonar bagi mengesan kedudukan ikan di dasar laut sebelum memancing di kawasan sekitar 1 hingga 5 kilometer dari pantai.
Tambahnya, walaupun memancing menggunakan kayak lebih berisiko tinggi terutama terpaksa berhadapan ancaman ombak besar ketika berlaku ribut atau hujan, namun dia menganggap kepuasan yang diperoleh sangat bernilai untuk dirinya.