PETALING JAYA – Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri ditegur dan disifatkan tidak menghormati bulan Ramadan selepas memuat naik video pendek lagu raya baru nyanyiannya yang akan dikeluarkan lima hari lagi.
Video pendek tersebut yang dimuat naik di laman Instagramnya mendapat pelbagai komen negatif daripada netizen kerana aksi beberapa orang penari dalam klip video itu yang dikatakan agak keterlaluan.
Di dalam video itu, Aliff Syukri dipaparkan sedang menyanyi sambil tiga orang penari lelaki menari dengan lincah disampingnya.
Bukan itu sahaja, pakaian penari-penari itu turut dikecam orang ramai kerana tidak bersesuaian dengan imej masing-masing yang mengenakan songkok di dalam video berkenaan.
“Nak nyanyi, nyanyi sajalah Datuk, tak perlu ada pondan terkinja-kinja macam itu. Itu yang orang kecam, takat suara Datuk ke laut itu orang dah biasa,” kata Aleen.
“Pakaian Datuk dah okey, tapi kenapa perlu penari pakai begitu,” kata Bumirah.
“Lagu apa-apa saja orang boleh dengar tapi penari latar tu langsung tak sesuai dan tak perlu pun. Dengan pakaian macam tu tapi bersongkok, biarlah sensitif sikit. Jadi lelaki biarlah macho bukan tergedik-gedik mengalahkan perempuan,” kata Syafiqah.
Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 700,000 kali dan mendapat lebih 4,000 komen. – KOSMO! ONLINE