KOTA BHARU – Cerai talak tiga dilafazkan seorang lelaki terhadap isterinya yang dibuat secara langsung di Facebook baru-baru ini tidak sepatutnya dilakukan kerana ia mengundang persepsi negatif kepada masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan itu dilihat telah membuka aib pasangan terbabit dan keluarga mereka.
Menurutnya, perceraian pada hakikatnya merupakan kaedah terakhir yang boleh diambil oleh pasangan suami isteri dalam menyelesaikan pertelingkahan dalam rumah tangga mereka.
“Lafaz talak satu dilakukan selepas mereka habis membuat perundingan. Perceraian adalah perkara halal yang tidak disukai oleh Allah SWT.
“Kita patut malu dengan tindakan melafaz cerai secara langsung (live). Mungkin mereka mahu menaikkan penilaian (rating) di laman sosial sehingga menggadai maruah dan mengaibkan pasangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang lelaki berusia 53 tahun melafaz cerai talak tiga terhadap isterinya secara siaran langsung di Facebook pada Rabu lalu.
Lelaki itu membuat kemunculan semula secara langsung selepas tujuh hari hilang sebelum menceraikan isterinya dengan talak tiga di hadapan penonton. – KOSMO! ONLINE