BAITULMUQADDIS – Pasukan keselamatan Israel menyerang beratus-ratus penduduk Palestin yang sedang menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa semalam, menyebabkan puluhan mangsa cedera, lapor portal berita MailOnline.
Menurut dakwaan Israel, berpuluh-puluh lelaki bertopeng berarak ke pekarangan Masjid Al-Aqsa sebelum waktu subuh dengan membawa bendera Palestin dan Hamas sambil melaungkan slogan anti-Zionis serta menyalakan bunga api.
Tentera Israel bertindak balas dengan memasuki perkarangan masjid berkenaan di mana beribu-ribu orang Islam berkumpul untuk menunaikan solat pada bulan Ramadan.
Penunjuk perasaan palestin kemudian membaling batu dan bunga api ke arah pasukan keselamatan Israel.
Tentera Israel membalas serangan dengan membedil peluru getah dan gas pemedih mata ke kawasan pekarangan masjid, menyebabkan 67 rakyat Palestin dan tiga anggota polis Israel cedera.
Kejadian itu berlaku pada bulan suci Ramadan yang dikatakan bertindih dengan perayaan Paskah Yahudi.
Perkhidmatan kecemasan Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan, pihaknya telah memindahkan 67 penduduk yang cedera akibat terkena tembakan peluru getah, bom gegaran (flashbang) atau dipukul dengan belantan ke hospital.
Menteri keselamatan Israel, Omer Barlev yang menyelia pasukan polis berkata, pasukan keselamatan Rejim Zionis tidak berniat untuk melakukan keganasan di tapak suci itu tetapi terpaksa menangani unsur keganasan.
Beliau berkata, Israel komited memberi kebebasan beribadat kepada orang Yahudi dan Islam. – Agensi