BARCELONA – Hasrat Barcelona memburu sekurang-kurangnya satu piala musim ini tidak kesampaian apabila tewas 3-4 secara agregat kepada Eintracht Frankfurt dalam aksi suku akhir Liga Europa awal pagi semalam.
Pada aksi timbal balik yang berlangsung di Camp Nou awal pagi semalam, The Catalans gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 2-3 kepada wakil Bundesliga itu.
Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez berkata, walaupun barisan pemainnya sudah cuba melakukan yang terbaik pada perlawanan itu, namun ia masih belum mencukupi bagi membolehkan mereka melangkah ke separuh akhir.
“Kami sudah cuba untuk berikan segala-galanya pada perlawanan hari ini (semalam), tetapi tidak berhasil. Saya akui kami gagal untuk menampilkan permainan sebenar yang dimiliki Barcelona.
“Seluruh pasukan sangat kecewa dengan keputusan ini kerana kami meletakkan harapan cukup tinggi. Bagaimanapun, saya harus ucapkan tahniah kepada Frankfurt kerana layak ke separuh akhir,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, pasukan pelawat menjaringkan gol menerusi dua jaringan Filip Kostic serta satu gol Rafael Borre, manakala gol Barcelona dijaringkan Sergio Busquets dan Memphis Depay.
“Kami mengawal permainan, tetapi gagal untuk menghukum barisan pertahanan mereka. Kami melepaskan gol hasil daripada kesilapan sendiri, jadi kami perlu terima kekalahan ini dengan hati terbuka,” ujar Xavi. – AGENSI