BERA – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada rakyat Pahang supaya mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kehidupan seharian.
Menurut baginda, prinsip ESG yang menekankan kepada amalan tadbir urus yang baik dan telus bukan sahaja boleh diamalkan dalam pentadbiran kerajaan, namun ia boleh dilaksanakan individu sama ada di rumah mahu pun di tempat kerja.
“Begitu juga dengan jawatankuasa mukim, kampung dan masjid, saya tidak mahu melihat jawatankuasa di peringkat akar umbi bergaduh dan berpecah belah.
“Lumrah kita sebagai manusia mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza, namun, ia tidak harus menjadi sebab untuk kita berpecah dan bertelingkah,” titah baginda pada majlis perasmian Masjid Baharu Kampung Mengkarak dan Majlis Berbuka Puasa, di sini semalam.
Yang hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Pada majlis itu, baginda berkenan mengurniakan sumbangan dan bantuan kepada 100 asnaf dan menyampaikan 10 komputer riba sumbangan anak syarikat Tabung Haji (TH) kepada pelajar golongan asnaf.
Menurut Tengku Hassanal lagi, sekiranya ada permasalahan, setiap jawatankuasa terbabit perlu duduk semeja dan bermusyawarah dengan baik.
“Saya telah bertitah kepada kerajaan negeri agar prinsip ESG ini digunapakai dalam menguruskan khazanah dan bumi ini dengan sebaiknya.
“Kepada rakyat Pahang pula, sama-samalah mengamalkan prinsip ini. Antara yang boleh diamalkan ialah jangan melakukan pembaziran, amalkan inisiatif kitar semula dan menguruskan pembukaan tanah dengan baik” titah baginda. -KOSMO! ONLINE