BARANGKALI nama si cantik manis Chacha Maembong tidak perlu diperkenalkan terutama buat peminat drama Melayu tempatan.
Pembabitannya dalam bidang seni bukan baru setahun dua, malah sudah lebih sedekad kalau ditambah tolak hitungannya.
Graf lakonannya juga sentiasa berada di paras yang baik. Ada sahaja slot ditawarkan buat wanita berusia 26 tahun itu dalam televisyen.
Lama tidak bertentang mata dengan pemilik nama sebenar Siti Aisyah Ismail itu, penampilan dan wajahnya yang manis berlesung pipit semakin menyerlahkan pesona saat memandangnya.
Ramping, lebih sopan dan cantik. Itu tiga perkataan yang menterjemahkan keperibadian Chacha ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama media baru-baru ini.
Disangkakan sakit atau mengalami tekanan, Chacha menolak dakwaan tersebut dan menyatakan dia kini dalam proses berdiet setelah menggunakan produk susut badan kakak kandungnya, Emma Maembong.
Hampir kesemua tidak mengenali identiti pelakon itu lebih-lebih lagi ketika memakai pelitup muka kerana imej yang digayakan tempoh hari berbeza dengan gaya Chacha sebelum ini.
“Ya, ramai juga yang tegur dan terkejut dengan penampilan saya sekarang. Ada juga yang tanya sama ada saya sakit atau ada apa-apa masalah.
“Kalau ikutkan saya kini dah lebih sebulan amalkan produk Emma. Pada masa sama mungkin kerana simptom pasca Covid-19 yang saya alami.
“Tak sampai sebulan lalu, saya memang teruk kena Covid-19. Boleh dikatakan seluruh badan sakit dan saya tak pernah rasa sebelum ini. Mungkin berat badan pun ada alami perubahan masa itu,” ujarnya membuka kata.
Tak lekang dek senyuman manis sesekali diselangi gelak tawa kecil, Chacha sebenarnya lebih terbuka jika orang lain melihat dirinya kini lebih sihat dan bukannya menanggung sebarang penyakit.
“Saya pun kadang-kadang tak faham dengan badan sendiri. Kejap naik, kejap turun. Tetapi selepas kena Covid-19, memang mendadak juga berat saya turun. Sekarang tak sampai 50 kilogram.
“Saya tahu ramai kenal saya dengan badan yang lebih berisi dan chubby, tetapi pada saya, berat badan bukan nombor satu dan menjadi keutamaan, asal kita pandai jaga penampilan dan sihat pun sudah memadai,” katanya.
Jadi mangsa
Bercakap tentang berat badan yang tidak menentu, pelakon itu yang menjadi mangsa maki hamun netizen menerusi naskhah Cukup Derita Itu sebenarnya pernah berdepan isu body shaming.
Kata Chacha, dia sebelum ini pernah menjadi mangsa cercaan dan hinaan gara-gara bentuk fizikal badannya yang sedikit berisi.
“Mungkin ramai tahu kalau dalam kalangan adik-beradik pun memang saya antara yang paling berisi. Bukan tak pernah kena, dahulu selalu jadi mangsa.
“Macam-macamlah orang kata, tetapi saya malas ambil pusing dan fikirkan sangat. Nak body shaming boleh, tapi tengok dan cermin diri sendiri dulu.
“Dahulu, jujur saya sampai stres memikirkan apa orang cakap. Semua benda serba tak kena.
“Bagi saya, cukuplah bakat lakonan diterima dan dipercayai, itu lagi penting daripada nak fikirkan apa orang kata tentang diri kita,” katanya.
Akuinya, dek terlalu memikirkan kata-kata orang, dia pernah berdepan depresi semata-mata demi puaskan hati pihak lain.
Lebih teruk, dia juga pernah membuat percubaan mencederakan diri sendiri seperti menoreh pergelangan tangan, namun disedarinya lebih awal.
Had, hati-hati
Jika perasan, agak lama juga Chacha sepi daripada dihambat pelbagai kontroversi yang kebanyakannya hampir menjahanamkan hidupnya.
Jika sebelum ini, ada sahaja gosip-gosip liar dan cerita panas yang tidak sedap didengar halwa telinga membabitkan pelakon itu.
Pun begitu getus Chacha, dia kini lebih selesa mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan mengehadkan pergaulan.
“Maksud berhati-hati di sini bukanlah saya langsung tak buat apa-apa hantaran dalam laman sosial. Ada juga saya buat, cuma tidak serancak dahulu.
“Berhati-hati pun tidaklah sampai menenggelamkan diri. Kalau dah namanya artis, pasti tak akan pernah senyap daripada dihinggapi cerita panas dan gosip.
“Apa yang nak disampaikan di sini, hidup saya dah banyak beza berbanding sebelum ini. Kalau dahulu tak kira siang malam, ada saja aktiviti dibuat. Andailah masa dapat diundur.
“Sekarang ini, saya lebih banyak habiskan masa dengan kerja dan keluarga sahaja. Nak keluar berseronok macam dahulu pun jarang sekali,” kata Chacha menamatkan ruang perbualan.