RIO DE JANEIRO – Sebuah karnival popular yang bakal berlangsung di kota raya Rio de Janeiro, Brazil pada minggu depan dibimbangi bertukar menjadi pertunjukan seram kerana diadakan di tebing sungai yang dihuni lebih 5,000 ekor buaya caiman, lapor akhbar Daily Star UK semalam.
Caiman adalah spesies reptilia daripada keluarga buaya dan boleh mencapai panjang hingga 3 meter.
Pesta empat hari yang akan bermula Rabu ini itu merupakan yang terbesar di dunia. Ia dijangka menerima dua juta pengunjung setiap hari.
Aktivis-aktivis pemuliharaan alam sekitar bagaimanapun berkata, caiman yang tinggal di sungai dan lagun merentasi bandar tepi laut itu mula muncul dari lubang dan longkang di Rio de Janeiro dan kawasan sekitarnya.
Reptilia itu dikesan berkeliaran di jalanan, berjemur di bawah sinar matahari dan menceroboh rumah penduduk.
Menurut beberapa pakar, pencemaran habitat dan makanan manusia telah meningkatkan kehadiran binatang buas itu.
“Rio memiliki lebih 5,000 buaya caiman dan terdapat risiko sebilangan pemangsa tersebut ‘hadir’ ke pesta itu.
“Pengunjung diminta sentiasa berjaga-jaga sepanjang mereka berhibur,” kata seorang aktivis pemuliharaan berkenaan. – Agensi