fbpx

13 ditahan seludup kontraban, bunga api, lombong bitcoin haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hazani.

PETALING JAYA – Kegiatan 13 individu disyaki menyeludup kontraban, bunga api dan perlombongan bitcoin di sekitar Lembah Klang terbongkar apabila ditahan dalam 13 serbuan Ops Kontraban bermula 5 April lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kesemua suspek yang ditahan menerusi operasi 10 hari itu terdiri daripada 11 lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

“Serbuan pertama pada 5 April lalu membawa kepada penahanan seorang lelaki bersama 1,079 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM318,634.40 serta sebuah kenderaan di Kajang, Selangor.

“Susulan itu, polis melancarkan serbuan kedua di lokasi sama dengan merampas 2,800 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1.1 juta menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kedua-dua serbuan itu dianggarkan RM1.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, serbuan ketiga di Klang pula polis berjaya memberkas seorang lelaki dan merampas 264 kotak mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM800,000.

Sementara itu, polis turut menyerbu sebuah premis perindustrian di sekitar Lembah Klang dikesan menjalankan kegiatan pengilangan dan pembungkusan rokok yang didapati tidak mendapat kelulusan kastam.

“Polis menahan dua lelaki yang bertanggungjawab ke atas premis itu dan merampas sejumlah 15,600 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM6.2 juta.

“Premis itu didapati menyalahgunakan kelulusan sedia ada dengan membuat pembungkusan dan pengedaran rokok tanpa kelulusan kastam,” katanya.

Dalam pada itu, Hazani memaklumkan polis meneruskan operasi mengekang kegiatan perlombongan bitcoin dan bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membanteras kegiatan mencuri dan membuat penyambungan tidak sah elektrik.

Katanya, menerusi operasi khas itu, sembilan premis diserbu dan polis merampas 515 unit mesin bitcoin yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta dan menahan tujuh lelaki tempatan bersama dua lelaki warga asing.

“Operasi khas itu berjaya mengekang kerugian berjumlah 374,353.10 kwh per bulan dengan nilai RM190,545.70 per bulan kepada pihak TNB,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI