JAKARTA – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila wayar fon telinga tersekat di dalam pundi kencingnya, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Lelaki di Indonesia itu memberitahu doktor bahawa dia menyumbat wayar fon telinga sepanjang 80 sentimeter itu ke dalam alat sulitnya.
Dia turut mengakui melakukan perbuatan tersebut sehingga lima kali dalam seminggu.
Lelaki yang dirahsiakan identitinya tiba di jabatan kecemasan Hospital Pengajaran Akademik Am Dr. Soetomo di kota Surabaya dengan mengadu sakit perut ketika membuang air kecil.
Dia kemudian memberitahu doktor mengenai perbuatannya memasukkan wayar fon telinga ke dalam alat sulitnya.
Menurut laporan jurnal Radiology Case Reports, doktor-doktor menyatakan, wayar itu ‘bersarang di dalam pundi kencing pesakit’.
Mereka menjalankan ujian X-ray untuk memeriksa lokasi tepat kedudukan wayar itu di dalam badan pesakit.
Wayar setebal tiga milimeter itu kelihatan seperti bergulung tetapi pesakit bernasib baik kerana ia tidak terlekat pada dinding pundi kencingnya.
Doktor menarik keluar wayar tersebut menggunakan forsep dan lelaki itu dibenarkan pulang selepas ditahan semalaman untuk pemantauan.
Pakar-pakar kesihatan menyifatkan situasi ini sebagai kes klasik polyembolokoilamania iaitu tindakan memasukkan bendasing ke dalam lubang kemaluan.
Namun, mereka berkata, pesakit tidak menunjukkan tingkah laku psikotik dan mentalnya berada pada tahap sihat. – Agensi