KUALA LUMPUR – Perkenalan kerani sebuah syarikat swasta bersama seorang lelaki melalui aplikasi Tinder menjanjikan perkahwinan sia-sia apabila ditipu serta mengalami kerugian kira-kira RM152,500.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 9 April lalu.
“Wanita berusia 39 tahun itu berkenalan dengan lelaki terbabit melalui laman sosial yang mana suspek menjanjikan perkahwinan dan meminta bantuan kewangan untuk membayar hutang peribadi serta perbelanjaan kahwin.
“Mangsa kemudian telah berjumpa dengan suspek dekat sebuah bilik hotel di ibu negara dan menyerahkan barang kemas bernilai RM30,000,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, menerusi perjumpaan lain suspek turut menunjukkan dokumen pembelian rumah kepada mangsa dan meminta bantuan untuk berkongsi pembayaran wang deposit pembelian rumah tersebut.
Jelasnya, mangsa seterusnya memberikan wang tunai sebanyak RM122,500 kepada suspek secara berperingkat sebelum menyedari bahawa lelaki itu pernah melakukan perkara itu terhadap beberapa mangsa lain di hotel yang sama.
“Susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Lembah Klang dan merampas tiga jenis telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM18,000 serta sembilan keping jongkong emas pelbagai berat menjadikan anggaran keseluruhan barang kemas bernilai RM30,000.
“Suspek kini telah ditahan reman sehingga 16 April 2022 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE