PONTIAN – Biarpun Hari Raya Aidilfitri bakal diraikan bulan depan, namun ia bukanlah keutamaan kerana yang lebih penting adalah bekalan makanan untuk keluarganya setiap hari.
Norizah Mat Ali, 42, berkata, pakaian baharu dan juadah raya hanya akan disediakan buat keluarganya termasuk seorang adik yang juga orang kelainan upaya (OKU) sekiranya ada mempunyai rezeki lebih.
Menurutnya, dia bersyukur ketika orang ramai berbuka dengan pelbagai juadah, anak-anaknya tidak merungut sebaliknya memahami kesusahan dihadapi ibu mereka.
“Kami makan apa yang ada di atas meja, anak-anak memahami keadaan ibu mereka yang mempunyai pendapatan sekadar cukup-cukup makan, saya juga perlu bayar rumah sewa RM200 sebulan.
“Saya belum membuat sebarang persiapan dari segi pakaian dan biskut raya dan semuanya bergantung sekiranya ada rezeki lebih nanti,” katanya.
Bercerita lanjut, Norizah memberitahu, selepas berpisah dengan suaminya, kehidupannya berubah 360 darjah kerana memikul tanggungjawab membesarkan anak-anak.
Katanya, dia menyara empat anaknya berumur 11 hingga 19 tahun dan adiknya, Nor Fadzilah, 36, sebagai pembantu di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinar Bakti di sini dengan pendapatan RM1,059 sebulan.
“Selepas berpisah dengan suami 11 tahun lalu, masing-masing bawa diri, pada masa itu saya jaga dua anak, manakala dua lagi ikut tinggal bersama bapanya.
“Tak lama kemudian, dua anak yang tinggal dengan bekas suami kembali kepada saya,” katanya.
Katanya, selepas diuji dengan penceraian dia kini diduga dengan keadaan kesihatan anak sulung berusia 19 tahun yang masih belajar di Kolej Yayasan Felda Negeri Sembilan (KYFNS).
Ujarnya, anaknya baharu sahaja menjalani pembedahan usus dengan kos RM2,000 dan kos itu dibayar hasil sumbangan dari rakan-rakan alumni sekolah.
“Setakat ini bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Bantuan Khas Kanak-Kanak sebanyak RM400 sebulan yang digunakan untuk perbelanjaan persekolahan,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Norizah boleh menghubunginya di talian 011-1551 3595 atau menyalurkannya ke akaun Bank Islam miliknya 01108020212731.