TAIWAN – Seorang wanita di Taiwan dilaporkan tertelan berus gigi sepanjang 18 sentimeter (sm) apabila menggunakannya pada posisi yang salah, lapor laman CTS Taiwan kelmarin.
Menurut wanita itu, dia berasa sangat letih pada waktu kejadian dan tergesa-gesa bersiap untuk ke tempat kerja.
Meskipun menyedari dirinya tertelan berus gigi, wanita itu tetap hadir bekerja terlebih dahulu sebelum pergi ke hospital tujuh jam kemudian.
Doktor yang merawat mangsa sangat terkejut mendengar penjelasannya dan bertanya kepada dirinya adakah dia pasti berus gigi itu sepanjang 18 sm.
Ujian imbasan X-ray tidak berjaya mengesan kedudukan berus gigi itu namun lokasinya diketahui selepas doktor menggunakan prosedur endoskopi dengan memasukkan wayar beserta kamera ke dalam mulut wanita tersebut.
Kaedah endoskopi menunjukkan berus gigi itu tersekat di esofagus atau salur makanan dan telah menyebabkan tisu di sekelilingnya merah serta membengkak.
Wanita itu bernasib baik kerana dia tidak perlu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan berus gigi itu dan ia berjaya ditarik keluar menggunakan alatan endoskopi. – Agensi