JOHOR BAHRU – Permohonan rayuan kes melibatkan pemandu wanita, Sam Ke Ting yang dijatuhkan penjara enam tahun serta denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan lapan kematian remaja akan didengar Isnin ini.
Ini berdasarkan semakan ke atas sistem mahkamah dalam talian dan pendengaran akan berlangsung di Mahkamah Rayuan di sini.
Dalam pendengaran itu nanti berkemungkinan melibatkan penangguhan hukuman ke atas Ke Ting, 27, sementara menunggu rayuan.
Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun beserta denda RM6,000 kepada Ke Ting, yang mana jika gagal bayar akan dikenakan tambahan enam bulan penjara.
Selain itu, wanita berkenaan juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman.
Dalam penghakimannya, Abu Bakar memberitahu, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.
“Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” ujarnya sebelum menjatuhkan hukuman.
Pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru mengekalkan keputusan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan yang berlaku pada 18 Februari 2017.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi.
Kelapan-lapan mangsa terlibat ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar; Fauzan Halmijan; Mohamad Azhar Amir; Muhammad Harith Iskandar Abdullah; Muhammad Shahrul Nizam Marudin dan Haizad Kasrin yang berusia antara 13 hingga 16 tahun ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE