BARU-BARU ini dunia media sosial dan hiburan dikejutkan dengan kematian bintang popular Thailand, Papangkorn Lerkchaleampote atau dikenali Beam semasa tidur.
Pemergian mengejutnya pada usia 25 tahun itu meninggalkan banyak tanda tanya kepada orang ramai terutama peminatnya kerana aktor itu masih terlalu muda, sihat dan seorang yang aktif bersukan.
Pelakon beberapa siri televisyen di saluran penstriman Netflix itu didapati sudah tidak bernyawa oleh ibunya di atas katil ketika mahu mengejutkannya untuk bangun pagi.
Menurut laporan media tempatan, pada sebelah malamnya, Beam dikatakan pergi bermain bola sepak sekitar pukul 8 hingga 10 malam sebelum pulang ke kondominiumnya di Bangkok kira-kira pukul 11.30 malam.
Berdasarkan laporan akhbar, siasatan awal pakar perubatan menyatakan punca kematiannya adalah akibat sindrom kematian mengejut yang tidak dapat dijelaskan (SUDS).
Mengulas lanjut kematian Beam, pakar perubatan di Hospital Siriraj di Bangkok, Manop Pithukpakorn berkata, SUDS bukan perkara asing bagi masyarakat di Asia terutamanya membabitkan lelaki muda.
“Salah satu sebab utama adalah serangan jantung (malignant arrhythmia) iaitu merupakan sebahagian daripada penyakit genetik.
“Proses autopsi molekular (membabitkan analisis genetik) dapat mengesan punca dan boleh memberi peringatan kepada ahli keluarga mengenai risiko untuk kejadian sama berulang kepada mereka,” katanya di laman sosial Facebook.
Sementara itu, Pakar Kardiologi, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr. Neoh Eu Rick memberitahu, SUDS adalah kematian mengejut yang tidak dapat dijelaskan dalam kalangan orang yang tidak mempunyai penyakit kronik.
Katanya, ia sering dikaitkan dengan ketiadaan gejala yang seterusnya menyebabkan pesakit pengsan atau meninggal dunia tanpa sebarang amaran kepada orang sekeliling.
“Punca utama SUDS adalah gejala yang berasal dari jantung, sama ada masalah litar elektrik jantung, arrythmia (degupan tidak sekata), arteri koronari (saluran darah sempit atau tersekat) dan hipertrofi (otot jantung tidak normal).
“Antara tanda-tanda lain adalah seperti terasa sakit dada terutama ketika bersukan, tidak sedar, sukar bernafas, berdebar atau pengsan ketika bersukan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Beliau menambah, golongan lelaki muda terutamanya yang mempunyai sejarah keluarga meninggal dunia tanpa sebab yang jelas adalah golongan paling berisiko mengalami SUDS.
“Serangan jantung boleh menimpa sesiapa sahaja dan usia muda bukan jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut terutamanya ketika bersukan.
“Gaya hidup yang tidak sihat seperti mengambil minuman beralkohol berlebihan dan mengamalkan sukan ekstrem juga boleh menyumbang kepada SUDS,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Neoh berkata, bersukan pada waktu malam tidak menjadi menjadi kesalahan, sebaliknya kita perlu memahami waktu bilakah untuk berhenti.
“Jangan terlalu aktif atau agresif sehingga gagal mengawal jantung dan jangan samakan diri anda dengan ahli sukan aktif atau profesional.
“Malah, perlu diingat ramai juga ahli sukan profesional yang mati di padang akibat cardiac arrest (jantung terhenti),” ujarnya.