LONDON – Pelumba Perancis, Fabio Quartararo dijangka akan memutuskan masa depannya dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebelum pertengahan tahun ini sama ada kekal bersama Yamaha atau menyertai pasukan lain.
Kontrak Quartararo akan berakhir pada penghujung musim ini, namun belum anda tanda-tanda positif pelumba berusia 22 tahun itu akan kekal bersama Yamaha musim depan.
Quartararo sebelum ini dikaitkan menyertai pasukan lain untuk membantunya kembali menjadi juara dunia MotoGP selepas merasakan jentera M1 milik Yamaha kurang kompetitif terutama aspek kuasa pecutan berbanding pasukan lain.
“Saya belum tahu bila saya akan buat keputusan bersama pengurus mengenai perjalanan karier pada masa akan datang.
“Tetapi, apa yang saya boleh katakan ialah keputusan akan dibuat sebelum musim panas nanti (pertengahan tahun),” katanya.
Quartararo dilihat kurang senang dengan prestasinya dengan M1 apabila sekadar mengakhiri perlumbaan di kedudukan keenam di Qatar, podium tempat kedua di Indonesia, tempat kelapan di Argentina dan ketujuh di Amerika Syarikat.
Kemungkinan Quartararo akan membuat keputusannya di Grand Prix (GP) Jerman pada 19 Jun atau GP Belanda (25 Julai) nanti selepas dikait akan menyertai pasukan Repsol Honda.
Bagaimanapun, Quartararo tidak berputus asa dan berharap Yamaha segera mencari jalan penyelesaian terbaik untuk terus berdaya saing untuk merebut gelaran dunia semula.
“Perbezaan dengan jentera lain, perubahan sangat ketara terutama ketika di laluan lurus. Saya harap Yamaha melakukan sesuatu pada jentera.
“Ketika ini, Yamaha hanya perlu mencari jalan agar lebih kompetitif di litar yang berpotensi bagi M1 untuk membantu saya menaiki podium.
“Seperti di Austin, jelas ia tidak membantu saya, malah tidak mendatangkan hasil yang cukup memuaskan,” kata Quartararo. – AGENSI