PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka dua juta kenderaan menggunakan lebuh raya pada hari-hari puncak menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, jumlah trafik harian boleh meningkat sebanyak 25 peratus kepada dua juta kenderaan pada hari-hari puncak itu, berbanding 1.6 juta sehari pada masa ini.
“PLUS menyarankan orang ramai supaya membuat perancangan dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari puncak dan kesesakan menjelang cuti hari raya terutamanya pada akhir Ramadan.
“Sehubungan itu, PLUS akan turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dalam tempoh terdekat bagi membantu orang ramai merancang perjalanan balik kampung dan balik kota masing-masing pada musim perayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Azman, pihaknya khususnya pasukan operasi lebuh raya juga bersiap siaga membantu orang ramai untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan Aidilfitri.
Jelasnya, ia membabitkan pendekatan holistik merangkumi pelbagai aspek termasuk adaptasi teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai.
Bagaimanapun, Azman memaklumkan pelan persediaan operasi lebuh raya tersebut akan diumumkan kemudian. – KOSMO! ONLINE