KUALA TERENGGANU – Syarikat pengeluar beras, Era Foods MY (Beras Era) berkongsi rezeki dengan menyumbang beras untuk juadah bubur lambuk yang diedarkan secara percuma sepanjang bulan Ramadan ini.
Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Beras Era dan Media Mulia Sdn. Bhd. itu melibatkan empat lokasi termasuk di Masjid Abidin di sini kelmarin.
Pengurus Jualan Beras Era (Kelantan & Terengganu), Ting Kuan Leong berkata, sebanyak 1,000 pek bungkusan bubur lambuk diedarkan secara percuma di setiap destinasi berkenaan.
“Bubur lambuk tersebut dimasak menggunakan beras Era jenis Nagasari Super Spesial Tempatan.
“Ia memberi peluang kepada penduduk setempat merasai keenakan beras keluaran Era yang berkualiti dan menetapi selera,” katanya selepas mengedarkan bubur lambuk tersebut di pekarangan Masjid Abidin di sini kelmarin.
Kuan Leong berkata, pihaknya turut menyumbang 1,000 pek beras Era jenis Basmathi Sultan selain akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia.
Beliau berkata, beras Basmathi Sultan yang berkualiti premium boleh dinikmati ramai dengan harga mampu milik.
“Beras keluaran Era berkualiti, sedap dan kena dengan selera masyarakat majmuk Malaysia.
“Beras tersebut boleh didapati di semua rangkaian pasar raya besar dan kedai runcit seluruh negara termasuk Pantai Timur,” katanya.
Dalam pada itu, Kuan Leong memberitahu, rasa bubur lambuk yang dikenali sebagai ‘Sejid Putih’ yang diedarkan secara percuma itu lebih enak dengan penggunaan beras Era jenis Nagasari Super Spesial Tempatan.
Selepas Masjid Abidin, program Kongsi Berkat Bubur Lambuk akan menjelajah Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 20 April ini sebelum ke Masjid Sultan Iskandar, Johor Bahru pada 27 April ini.
Sebelum ini, program tersebut membuka tirai di Dewan Orang Ramai Kampung Tengah, Seberang Ramai, Kuala Perlis pada 6 April lalu.