PETALING JAYA – Isu viral membabitkan seorang peguam wanita berhubung sebuah kes penderaan kanak-kanak mendapat perhatian ramai pihak termasuk golongan selebriti.
Turut menyuarakan pendapat mengenai perkara tersebut ialah aktres, Izara Aishah yang berpendapat seorang peguam, khususnya beragama Islam harus berpegang dengan prinsip undang-undang berasaskan agama suci yang dianuti.
“Saya rasa peguam Islam sepatutnya ada had dan berpegang pada prinsip asas Islam, bukan?
“Anda tidak perlu bersetuju dengan individu yang melakukan jenayah semata-semata untuk membuktikan anda bijak,” katanya menerusi sebuah ciapan dalam Twitter semalam.
Pelakon filem Pilot Cafe itu turut menasihatkan setiap pengamal undang-undang untuk menjaga maruah sendiri agar tidak tercalar disebabkan sesebuah kes.
“Lindungi reputasi anda dan sekurang-kurangnya menjaga maruah,” katanya lagi.
Sehingga kini, ciapan tersebut telah diulang kicau lebih 5,700 kali dan meraih hampir 9,000 tanda suka.
Sejak malam tadi, media sosial khususnya Twitter kecoh apabila seorang peguam memuat naik sebuah foto bersama anak guamnya berkaitan sebuah kes penderaan kanak-kanak Orang Kurang Upaya.
Rata-rata netizen kurang bersetuju dengan tindakan peguam tersebut kerana dikatakan tidak mempunyai rasa simpati terhadap mangsa. – KOSMO! ONLINE