GEORGE TOWN – Kedai-kedai runcit di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini menjadi sasaran ramai peniaga bermusim dan baharu di bazar Ramadan untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket dalam kuantiti yang banyak untuk menjalankan perniagaan.
Tinjauan Kosmo! di pasar awam di daerah berkenaan semalam mendapati, rata-rata peniaga kedai runcit berdepan situasi sama apabila mendakwa, mereka kini menjadi buruan golongan peniaga tersebut sejak awal Ramadan lalu.
Minyak masak peket bersubsidi dijual pada harga RM2.50 sekilogram.
Seorang peniaga kedai runcit, Abdul Rahman Ahmad, 72, berkata, permintaan terhadap pembelian minyak masak peket ketika ini meningkat dalam kalangan peniaga bermusim berbanding golongan isi rumah.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak dapat menunaikan permintaan mereka berikutan bekalan yang diperoleh terpaksa dihadkan hanya sepeket bagi setiap pelanggan dengan pembelian barangan keperluan lain minimum RM10.
“Kira-kira 20 peniaga muka baharu atau bermusim datang mencari minyak masak peket setiap hari. Permintaan terhadap bekalan itu bukan hanya sebungkus, tetapi lebih daripada empat peket.
“Saya memang tidak akan jual jika mereka sekadar mahu membeli minyak masak peket dalam kuantiti yang banyak.
“Kami pun hanya dibekalkan pemborong sebanyak dua kotak sehari atau selang dua hari. Kami terpaksa mengehadkan jualan bagi memberi laluan kepada isi rumah dan pelanggan tetap sahaja.
“Kami cam muka-muka peniaga baharu yang sekadar mahu membeli minyak masak peket dan kelibat mereka juga dilihat keluar dan masuk semua kedai runcit di kawasan ini,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi peniaga kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Amran, 44, memberitahu, dia masih dengan keputusan menjual minyak masak peket kepada pelanggan tetap dengan pembelian barangan keperluan lain di premisnya.
“Dahulu saya tetapkan pembelian sebanyak dua bungkus minyak masak peket kepada pelanggan, tetapi hari ini, ia terpaksa dihadkan kepada sebungkus sahaja kerana bimbang bekalan itu akan terputus menjelang Aidilfitri nanti.
“Mujur pelanggan memahami keadaan ini dan mereka ada yang terpaksa datang setiap hari semata-mata mahu membeli sebungkus bekalan itu.
“Mereka mengatakan terpaksa menyimpan stok di rumah kerana risau berlaku ketiadaan bekalan menjelang raya,” ujarnya.